Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dibuat mengikut adat Melayu dan bukannya secara Islam.

Malah Presiden Pas itu mendakwa, permohonan maaf oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak melambangkan konsep Islam.

“Saya dengar sedikit dalam TV, dia minta maaf ikut adat Melayu, sedangkan maaf ni bukan adat Melayu, maaf ini adalah satu konsep daie Islam… kita faham la, maaf orang Melayu macam mana.

“Adakah ia selari dengan konsep Islam atau tidak dan saya dengar ada kenyataan lain pula selepas itu, (permohonan maaf dibuat) bukan bermakna mengaku salah, dia hanya minta maaf saja,” tegasnya.

Tambah beliau, Pas tidak pernah berdendam melalui kuasa pemerintahan ketika diberi peluang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ini menandakan kita maaf secara praktikal, bukan hanya sekadar bercakap saja,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam ucapan sebagai pengerusi pada Perhimpunan Agung PPBM membuat permohan maaf dengan berkata, sebagai manusia biasa beliau tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, selepas kenyataan itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan maaf sememangnya menjadi adat orang Melayu dan tidak semestinya pengakuan seseorang itu bersalah terhadap kesilapannya. – MalaysiaGazette