Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Mahfuz Omar mengumumkan dirinya keluar daripada Pas bukan satu pengumuman yang mengejutkan.

Malah, ia merupakan satu tindakan yang sudah dijangka ekoran sikapnya yang ‘dingin’ terhadap parti sejak dua tahun lalu, kata Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad.

“Ia bukan satu keputusan yang mengejutkan dan kita juga tidak terkejut dengan keputusan itu.

“Lagipun dah dua tahun dia (Mahfuz) tidak bersama dengan parti. Saya yakin, dah banyak yang dia cakap tidak ada yang baru,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Penambahan Ahli Pas “Pas PilihanKu 2.0” di ibu pejabat parti berkenaan di Jalan Raja Laut di sini hari ini .

Mengulas lanjut, Iskandar menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Mahfuz itu pasti akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli-ahli Pas terutama penyokong tegar parti itu di dalam kawasan Parlimen Pokok Sena.

Pada sidang media tengahari tadi, Mahfuz membuat pengumuman beliau keluar daripada parti Pas berkuat kuasa tengah malam ini.

Satu surat kepada Setiausaha Agung Pas akan dihantar berdasarkan perlembagaan untuk berhenti menganggotai Pas.

Menerusi sidang media itu, Mahfuz memberitahu, berkuatkuasa 11.59 malam 31 Disember 2017 selepas 34 tahun sejak 12 Mac 1984 menganggotai Pas akhirnya menarik diri,

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung di Facebook Amanah Negeri Kedah.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata beliau belum memutuskan parti mana yang akan disertainya. – MalaysiaGazette