KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mewujudkan saham ‘Islamik’ atau saham ‘I’ di negara ini.
Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, kekurangan saham-saham atau instruen ekuiti patuh Syariah dalam perkhidmatan kewangan di negara ini adalah isu besar.
Menurut beliau, di sebalik kejayaan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor kewangan Islam, hanya terdapat tiga syarikat perkhidmatan kewangan patuh Syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu BIMB Holdings, Syarikat Takaful Malaysia dan MBSB, dengan jumlah nilai pasaran sebanyak RM15 bilion.
Kedudukan itu kurang daripada 5.0 peratus daripada jumlah kesemua nilai pasaran bank dan syarikat kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Pada masa yang sama, terdapat banyak dana patuh Syariah yang perlu melabur dalam saham perkhidmatan kewangan patuh Syariah.
Selain PNB, KWSP juga memiliki sejumlah RM59 bilion dana Syariah yang dijangka meningkat kepada RM100 bilion tidak lama lagi.
“Satu cara berkesan untuk memenuhi keperluan ini ialah untuk mengkhususkan atau ‘designate’ sebahagian daripada saham di bank-bank Malaysia (seperti Maybank, CIMB dan RHB) yang mempunyai perniagaan Kewangan Islam yang besar sebagai saham ‘Islamik’ atau Saham ‘I’.
“Sebagai contoh, Maybank Islamic yang merupakan bank Islam terbesar di Malaysia dengan jumlah aset sebanyak RM185 bilion adalah tiga kali ganda lebih besar daripada Bank Islam.
“Dari segi sumbangan kepada keuntungan, aktiviti kewangan Islam di Maybank menyumbang sekitar 25 peratus kepada jumlah keuntungan keseluruhan Kumpulan Maybank,” katanya dalam kenyataan di sini.
Abdul Wahid menambah, mungkin sesetengah pihak berpendapat Maybank Islamic, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Maybank perlu disenaraikan di Bursa Malaysia secara berasingan.
Namun ini tidak dapat dilakukan kerana Maybank mengambil strategi “Islamic First” yang mana operasi kewangan Islamik adalah bahagian penting dalam keseluruhan operasi Maybank dan berkongsi infrastruktur serta saluran pengagihan yang sama dengan bahagian lain.
Apa yang boleh dilakukan adalah untuk mengkhususkan sebahagian saham Maybank, misalnya 20 peratus sebagai saham ‘I’, yang mana pendapatan dividen boleh dihadkan atau ‘ring-fenced’ hanya daripada aktiviti Maybank Islamic atau aktiviti lain Maybank yang patuh Syariah.
Menurut beliau, jika ini dapat dilaksanakan dan berdasarkan nilai pasaran terkini Maybank sekitar RM100 bilion, saham ‘I’ Maybank berkemungkinan mempunyai nilai pasaran sebanyak RM20 bilion.
“Ini adalah tiga kali ganda nilai pasaran BIMB Holdings yang bernilai RM7 bilion. Konsep yang sama boleh diguna pakai untuk CIMB dan RHB, malah Bursa Malaysia sendiri, yang mana 60 peratus daripada kaunter disenaraikan (berdasarkan nilai pasaran) adalah patuh Syariah,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, PNB pada awalnya berharap inisiatif saham ‘I’ ini akan mendapat kelulusan pada tahun 2017 tetapi malangnya hasrat tersebut belum tercapai.
“Kami akan terus berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan yang relevan dalam usaha untuk menjadikannya suatu realiti dalam tahun 2018,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















