Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat tangan tanda sempurnanya perhimpunan sambil diiringi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri), Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kanan) dan Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman (kanan) pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) digesa membuat siasatan terperinci terhadap mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Sabtu lalu kerana didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersorak sambil mengangkat tangan tanda sempurnanya perhimpunan sambil diiringi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tiga kiri), Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk dua kanan), Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman (duduk kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017

Ketua Bahagian Temerloh, Amerus Che Onn yang membuat dakwaan itu berkata AGM pada Sabtu lalu dilihat ‘syok sendiri’ kerana hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.

“Pemilihan perwakilan ke AGM tidak dibuat ikut perlembagaan parti. Tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan hadir AGM pertama itu.
Selain itu, perhimpunan untuk Angkatan BERSATU Anak Muda (Armada) dan Srikandi juga tidak diadakan.

“Saya rasa kami ditipu dan dipermainkan. Maka, saya mendesak RoS membuat siastan terperinci berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di RoS di Putrajaya, hari ini.

Sabtu lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam selepas diberikan amaran oleh RoS.

Amerus berkata AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pimpinan tertentu sahaja dan perwakilan bahagian tidak diberi hak untuk menyuarakan pandangan.

“Matlamat sebenar penubuhan PPBM sudah tidak wujud kerana kepimpinan tertinggi hanya memperjuangkan kepentingan individu sehingga isu dalaman parti tidak diselesaikan,’ katanya.

Sehubungan itu, Amerus mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kerana hanya memperjuangkan kepentingan peribadi.

Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada BERSATU kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan. – BERNAMA