Harga barang-barang makanan dilaporkan naik harga selepas Arab Saudi memperkenalkan Cukai Nilai Tambah pada 1 Januari 2018. foto Agensi

RIYADH – Harga bahan makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambang teksi di Arab Saudi melonjak berikutan pelaksanaan Cukai Nilai Ditambah (VAT) diperkenalkan tahun ini dan kenaikan harga minyak.

Mohammed Al-Johani, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Makanan di Dewan Perniagaan dan Industri Jeddah (JCCI), menjangkakan peningkatan sebanyak 30 hingga 40 peratus dalam harga buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu.

Beliau berkata, ia amat sukar untuk memantau harga buah-buahan dan sayur-sayuran kerana peniaga tidak meletakkan tanda harga.

Johani berkata, kedai runcit mengaut antara 25 hingga 30 peratus ke atas keuntungan buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum pengenalan VAT dan sekarang keuntungan mereka akan berlipat kali ganda.

Mutassim Abu Zinadah, Pengerusi Pedagang Buah-buahan dan Sayur-sayuran, memberi amaran bahawa beberapa kedai runcit mungkin cuba menaikkan harga berikutan pengenalan VAT dan kenaikan harga minyak.

“Terdapat perbezaan kira-kira 20 peratus dalam harga buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar pusat dan kedai runcit sebelum pengenalan VAT,” katanya, sambil menambah, “Sekarang perbezaannya mungkin naik hingga 30 peratus selepas VAT.”

Bajet setiap keluarga juga meningkat bukan sahaja dengan kenaikan harga bahan makanan tetapi juga dengan kenaikan tambang pengangkutan, yuran tuisyen sekolah swasta dan bas sekolah.

Saeed Al-Bassami, Ketua Jawatankuasa Pengangkutan di Majlis Dewan Arab Saudi dan Jawatankuasa Pengangkutan Darat JCCI memberitahu, kenaikan harga minyak akan mempengaruhi tambang pengangkutan. – MalaysiaGazette