Aduan pengguna Petronas mengenai baucar yang tidak mencukupi ketika tinjauan di stesen Petronas.

KUALA LUMPUR – Tindakan Petronas Dagangan Bhd. (PDB) tidak menyediakan baucer mencukupi semasa promosi The Only Game Where Everybody Wins yang sedang berlangsung sehingga akhir Februari ini telah menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Mengikut syarat penyertaan yang tertera pada baucer berkenaan, setiap pelanggan layak mendapat baucer yang menawarkan pelbagai ganjaran itu apabila mengepam petrol sekurang-kurangnya RM20 atau membeli barangan promosi kedai Mesra atau membeli Petronas Syntium 4 liter.

Malangnya, tidak semua pelanggan memperoleh baucer berkenaan meskipun menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ini kerana baucer yang dicetak dan dihantar ke peruncit tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan pelanggan sedangkan cetakan baucer berkenaan di bawah tanggung jawab penuh PDB.

Menurut seorang pelanggan, Zurawati Daud, baucer berkenaan boleh dituntut dalam tempoh seminggu apabila stesen Petronas tersebut sudah kehabisan stok.

“Ia agak menyusahkan kerana kadang-kala kita terlupa untuk meminta baucer berkenaan.

“Hadiah-hadiah misteri yang ditawarkan agak menarik seperti diskaun pembelian di Lazada, McDonalds, Starbucks dan pelbagai lagi.

“Manakala hadiah utama pula adalah wang tunai RM5,000. Sepatutnya pihak Petronas mencetak baucer yang mencukupi kerana ini bukan kali pertama mereka melakukan promosi sebegini.

“Perkara yang sama turut berlaku semasa mereka membuat promosi pemberian payung percuma sehingga menyebabkan para pelanggan berebut dan kecewa,” katanya yang merupakan pelanggan setia kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut sumber, PDB telah meminta supaya peruncit atau pemilik kedai Mesra untuk mencetak sendiri baucer diskaun bernilai RM1.

“Mereka tidak mencetak baucer yang mencukupi sehingga menyebabkan kemarahan pelanggan sedangkan perkara ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya dirancang dengan betul.

“Lagi pula, sebelum ini perkara yang sama telah berlaku semasa mereka melakukan promosi pemberian payung percuma dahulu.

“Sepatutnya mereka mengambil kira unjuran jualan sepanjang tempoh promosi berdasarkan rekod jualan terdahulu sebelum mencetak baucer berkenaan.

“Tetapi nampak gayanya kesilapan sebelum ini masih belum dibetulkan,” katanya kepada MalaysiaGazette

MalaysiaGazette difahamkan, ketidakpuasan hati pelanggan turut dibawa ke pengetahuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan dan kementerian tersebut sedang melakukan siasatan.

Jelasnya, antara skop siasatan adalah berkaitan promosi yang mengelirukan.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. orang bisnes ni banyak cara untok tipu pelanggan dia. kalau tak minta dia buat senyap je. kalau minta kata habis.

Comments are closed.