Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman

RIYADH- Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seramai 11 orang putera raja selepas mereka berhimpun di sebuah istana di Riyadh bagi memprotes bayaran kerajaan di atas penggunaan utiliti mereka.

Negara pengeksport terbesar minyak itu telah memperkenalkan reformasi ekonomi termasuk mengurangkan subsidi bahan api, memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta mengurangkan beberapa manfaat ahli keluarga diraja bagi mengimbangi kejatuhan harga minyak mentah yang menyebabkan bajet defisit sebanyak 195 bilion riyal (AS$52 bilion) pada 2018.

Anak-anak raja itu berhimpun pada Khamis di hadapan istana Qasr al-Hokm meminta pembatalan titah terbaharu itu dan mengantung draf undang-undang berhubung pembayaran bil elektrik dan air keluarga diraja itu.

Mereka juga meminta pampasan terhadap hukuman mati yang dilaksanakan ke atas sepupu mereka, Putera Turki bin Saud al-Kabeer pada 2016.

“Walaupun telah diberitahu bahawa permintaan mereka itu tidak mengikut undang-undang, 11 putera berkenaan tetap enggan meninggalkan kawasan berkenaan serta menganggu ketenteraman awam.

“Pengawal keselamatan terpaksa mengeluarkan arahan dan kesemua putera berkenaan telah ditahan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwaraya tanpa menamakan identiti putera tersebut.

Tambahnya, kesemua putera raja berkenaan ditahan di penjara Al-Hayer yang terletak di selatan Riyadh sementara menunggu perbicaraan.

Sebuah laman web berita, Sabq sebelum itu melaporkan, ketua kumpulan putera dengan nama samara S.A.S merupakan sebahagian daripada keluarga Saud al-Kabeer dari keturunan Saud yang merupakan salah seorang sepupu almarhum Raja Abdulaziz, pengasas Arab Saudi moden.

Ketegangan keluarga diraja Arab Saudi itu bermula apabila putera kesayangan Raja Salman, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 32, yang mempunyai cita-cita tinggi telah memperkenalkan pelbagai polisi baharu yang agresif dan berbeza dari sebelumnya.

Ini telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan keluarga diraja yang selama ini diperintah melalui keputusan muafakat.-MalaysiaGazette