Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) melupuskan 100 peratus pegangan dalam APIIT Education Group kepada syarikat usahasama yang dimiliki oleh pasukan pengurusan utama sedia ada dan KV Asia Capital pada harga RM725 juta.

Kumpulan pendidikan itu merangkummi Asia Pacific Schools, Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU) dan Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT).

“Kami melupuskan pegangan kami kepada pemilik baharu termasuk pasukan pengurusan utama sedia ada APIIT Group yang telah mempunyai pengalaman lebih 100 tahun dalam industri pendidikan.

“Mereka juga akan memastikan kepentingan untuk menyediakan kualiti pendidikan terus dipertahankan,” kata Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Ekuinas mula memasuki APIIT Education Group selepas mengambil alih 51 peratus kepentingan daripada Sapura Resources Bhd.

Pada Mac 2016, ia mengambil alih baki kepentingan APIIT daripada Sapura Resources pada harga RM247 juta dan menjadi pemilik tunggal.

Menurut Raja Arshad, pelupusan kepentingan tersebut membolehkan Ekuinas mendapat semula kos pelaburan dan menjana pulangan positif sebanyak 22.3 peratus dan menggadankan wang sebanyak 1.6 kali ganda modal yang telah dilaburkan.

Ini termasuk dividen yang telah diperolehi. – MalaysiaGazette