Azam Baki

PULAU PINANG – Seramai 12 individu setakat ini diambil keterangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal projek terowong dasar laut yang dirancang di negeri ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, antara yang diambil keterangan hari ini ialah saksi daripada pejabat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan syarikat berkaitan projek itu yang dibuat di negeri ini serta Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan pasukan siasatan turut menyerbu beberapa pejabat kerajaan negeri di  bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini dan mengambil beberapa dokumen tambahan berhubung projek itu.

“Pasukan penyiasat masih dalam proses meneliti dokumen dan maklumat yang  diambil daripada pejabat kerajaan negeri dan bagi melengkapkan siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan memanggil Ketua Menteri, Lim Guan Eng atau Exco kerajaan negeri berkaitan, Azam berkata, tiada keperluan bagi pihaknya berbuat demikian buat masa ini.

SPRM semalam menahan reman selama enam hari Pengarah Eksekutif dan Timbalan Pengerusi sebuah syarikat pembangunan hartanah berpangkat Datuk di sini dan Putrajaya bagi membantu sisatsan kes berkenaan.

Penahanan itu susulan serbuan yang dibuat SPRM kelmarin di tujuh lokasi termasuk empat pejabat kerajaan negeri dan tiga syarikat pemaju serta konsultan bagi menyiasat dakwaan wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dalam projek tersebut.

Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baharu kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Comments are closed.