Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran akhir berhubung perjanjian program senjata nuklear Iran.

Beliau meminta kongres dan sekutu-sekutu Eropah berkerja untuk membetulkan semula ‘kesilapan teruk’ dalam pakatan tersebut atau terpaksa menerima hakikat bahawa AS akan meninggalkan mereka.

Menurut Trump, beliau boleh menghentikan sekatan terhadap Iran dengan syarat permintaannya dipenuhi.

Amaran terakhir itu memberi tekanan kepada negara-negara Eropah, penyokong tegar dan pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian antarabangsa 2015 yang mahu menyekat program nuklear Iran demi untuk memuaskan hati Trump.

Presiden AS itu mahu pakatan tersebut diperkukuh dengan satu lagi perjanjian berasingan dalam tempoh 120 hari.

“Walaupun saya cenderung untuk melakukannya tetapi saya masih belum membawa AS keluar daripada perjanjian tersebut.

“Namun saya telah menggariskan dua perkara utama iaitu: betulkan semua kelemahan teruk perjanjian tersebut atau AS akan menarik diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam respon di Twitternya berkata, perjanjian tersebut tidak boleh dirunding semula dan Trump terdesak untuk melecehkan sebuah perjanjian multilateral yang kukuh.

Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan pula berkata, mereka mengambil maklum keputusan Trump dan akan menilai semua implikasi yang bakal berlaku.-MalaysiaGazette