Barisan pemain golf pasukan Eropah bergambar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas majlis penyampaian piala EurAsia di Shah Alam.

SHAH ALAM – Dua hari ketinggalan, pasukan Eropah bangkit mempamerkan peningkatan luar biasa apabila mengekalkan kejuaraan kejohanan golf antara benua, EurAsia Cup 2018 dengan keputusan 14-10 ke atas pasukan Asia.

Thomas Pieters mengesahkan kemenangan pasukan Eropah biarpun pasukan Asia turun pada hari ketiga dan terakhir dengan mendahului 6.5-5.5.

Pasukan Eropah bermula garang dalam acara perseorangan apabila Alex Noren mengatasi pemain negara, Nicholas Fung 4&2.

Namun Poom Saksansin memberi sedikit keceriaan kepada pasukan Asia selepas menewaskan Paul Casey.

Pasukan Eropah bagaimanapun terus mengganas apabila mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum Pieters mengalahkan Byeong-hun An.

Pemain negara, Gavin Green turut brdepan kekalahan walaupun beraksi cemerlang dalam saingan fourballs dan foursome.

Green tumpas 3&4 kepada Rafa Cabrera Bello.

Trofi EurAsia disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kapten pasukan Eropah, Thomas Bjorn di Kelab Golf dan Country Glenmarie di sini hari ini.

EurAsia Cup merupakan kejohanan golf yang menyaksikan pertarungan antara pasukan Eropah dan Asia.

Memasuki edisi ketiga selepas kali pertama diadakan pada 2014, ia merupakan versi kejohanan yang menyerupai Piala Ryder antara Amerika dan Eropah.

24 mata menjadi rebutan dan pasukan pertama yang berjaya mengumpul 12.5 mata bergelar juara keseluruhan.

Pasukan Eropah turun selaku juara bertahan selepas memenangi edisi 2016 sementara edisi pertama pada 2014 menyaksikan kejuaraan dikongsi Eropah dan Asia selepas keputusan berakhir dengan seri. – MalaysiaGazette