BANGKOK – Polis Diraja Thailand (RTP) meminta kerjasama Bukit Aman untuk mengesan saki-baki satu sindiket penipuan pusat panggilan berikutan tertangkap enam anggotanya warga Malaysia di Bangkok baru-baru ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang berkunjung ke Thailand baru-baru ini.

“Mereka (RTP) meminta kerjasama kita (Bukit Aman) untuk mengesan saki-baki anggota sindiket penipuan itu berikutan penangkapan enam anggotanya di Bangkok baru-baru ini,” katanya kepada BERNAMA.

Menurutnya, permohonan kerjasama daripada RTP untuk mengesan saki baki anggota sindiket penipuan terbabit di Malaysia disuarakan ketika pertemuan beliau dengan rakan sejawatan Polis Thailand baru-baru ini.

Wan Ahmad Najmuddin yang berada di sini untuk menghadiri majlis penyerahan 20 kenderaan curi Malaysia, kebanyakannya kereta mewah termasuk sebuah Bentley di ibu pejabat RTP berkata, kedua-dua pasukan polis mempunyai hubungan kerjasama yang amat rapat.

“Hubungan (antara PDRM dan RTP) yang rapat ini telah lama dan merangkumi pelbagai bidang kerjasama,” katanya.

BERNAMA difahamkan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu dan berkemungkinan adalah “dalang utama” operasi penipuan sindiket itu, berada di beberapa negeri di Malaysia.

Pada 4 dan 5 Januari lalu, polis Thailand menyerbu beberapa buah hotel di kawasan Huai Kwang dan Sukhumvit di Bangkok dan menahan enam rakyat Malaysia yang dipercayai adalah anggota sindiket penipuan pusat panggilan.

Turut dirampas daripada mereka termasuk pelbagai buku akaun bank, kad kredit, kad ATM dan resit pengeluaran wang, kad SIM telefon bimbit, telefon bimbit serta wang tunai dalam Thai Bhat dan Ringgit Malaysia daripada mereka yang terbabit.

Siasatan polis mendapati seorang daripada suspek itu bertindak mengumpul semua wang mangsa dan memindahkannya ke beberapa akaun bank yang mempunyai nama rakyat Thai dan Malaysia, sebelum wang itu dipindahkan ke luar Thailand.

Menurut Polis Thailand, kira-kira 1.2 juta Baht (kira-kira RM153,000) telah pun dikeluarkan dari negara ini.

Wan Ahmad Najmuddin dalam temu ramah itu berkata, jenayah penipuan pusat panggilan atau kerap dirujuk sebagai “Macau Scam” perlu diberikan fokus berikutan pembabitan rakyat Malaysia dalam sindiket-sindiket terbabit.

Tidak lama dahulu, katanya, aktiviti penipuan pusat panggilan di Malaysia kerap dilakukan oleh warga Afrika atau China serta Taiwan.

“Sekarang ini, orang Malaysia pula datang (ke Thailand) untuk menipu orang di sini,” katanya dengan merujuk kepada penangkapan enam rakyat Malaysia anggota sindiket penipuan pusat panggilan di Bangkok baru-baru ini serta beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia di Thailand sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Surachet Hakpan yang mengetuai usaha RTP untuk membanteras penipuan pusat panggilan di negara itu berkata, polis Thai akan bekerjasama dengan rakan sejawatan di Malaysia untuk menangkap anggota lain sindiket itu.

“Apabila kami menangkap suspek dari mana-mana negara, kami akan bekerjasama dengan polis negara itu seperti Malaysia. Kami bekerjasama dengan Pengarah CID Bukit Aman (Datuk Seri Ahmad Najmuddin Mohd) semasa pertemuan kami (berhubung penangkapan enam rakyat Malaysia),” katanya.

Beliau turut hadir dalam pertemuan dengan Wan Ahmad Najmuddin yang diadakan baru-baru ini.

Menurut beliau, mulai sekarang, polis pelancong Thailand bukan hanya akan menangkap anggota sindiket di Thailand tetapi juga di negara-negara lain, dengan bantuan polis Thailand untuk membanteras kegiatan sindiket itu di negara ini.

“Sindiket penipuan pusat panggilan telah beroperasi sejak begitu lama dan mempunyai rangkaian di banyak negara,” kata Surachet. – MalaysiaGazette