Mohammed Shazalli Ramly (dua dari kiri) dan Azman Mohd, bersalaman selepas menandatangani MoU NFP di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama membangunkan pelan pelaksanaan bagi merealisasikan Pelan Fiber Seluruh Negara (NFP) oleh pihak kerajaan.

Usahasama ini akan memanfaatkan gabungan keupayaan kedua-dua syarikat milik Kerajaan (GLC) tersebut dari segi capaian, infrastruktur dan kepakaran.

TM dan TNB dalam kenyataan bersama berkata, secara khusus, sinergi berkenaan akan membolehkan struktur kos yang paling efisien dan memacu capaian rangkaian jalur lebar fiber.
Ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk memacu ekonomi digital di Malaysia, seperti yang disasarkan di bawah NFP dan projek-projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Seterusnya, pelaksanaan itu di bawah TM dan TNB, sebagai dua buah institusi terkemuka di Malaysia, akan memastikan keselamatan serta menjamin infrastruktur strategik dan kritikal
negara.

Cadangan rangkaian itu juga akan meneruskan penyertaan akses terbuka sedia ada oleh para pemain industri yang lain bagi mempromosikan persaingan sektor swasta dalam jalur
lebar runcit.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, dan Datuk Seri Ir. Azman Mohd, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB.

MoU ini tertakluk kepada perjanjian muktamad yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak selepas terma-terma komersil dimuktamadkan. – MalaysiaGazette