RIYADH- Raja Arab Saudi, Raja Salman memerintah sejumlah AS$2 bilion didepositkan kepada bank pusat Yaman bagi menangani kejatuhan matawang Yaman, kata kerajaan Arab Saudi.

Langkah tersebut diambil sehari selepas Perdana Menteri Yaman merayu secara terbuka untuk mendapatkan dana bagi menaikkan nilai rial dan seterusnya membantu mengurangkan kebuluruan yang melanda negara yang sedang berperang itu.

“Ini bukan pinjaman, ia adalah pemberian dan mengikut undang-undang, kerajaan Yaman tidak perlu membayar balik,” kata seorang sumber yang rapat dengan Arab Saudi.

Yaman yang mengalami perang saudara hampir tiga tahun dan kerajaan tidak diiktiraf antarabangsa bagaimanapun sentiasa mendapat sokongan Riyadh.

Matawangnya, rial, menjunam hampir separuh daripada nilai asal berbanding dolar Amerika Syarikat manakala peningkatan harga telah menyebabkan banyak komoditi asas sukar diperoleh oleh rakyat negara itu.

Pekerja-pekerja bantuan kemanusiaan memberitahu Reuters, mereka menjangkakan rial untuk pulih semula selepas mendapat suntikan tunai daripada Arab Saudi.

Perdana Menteri Yaman, Ahmed bin Daghr berkata, langkah menyelamatkan rial bermakna ia juga adalah langkah menyelamatkan rakyat daripada kebuluran.-MalaysiaGazette