Jumlah penduduk yang terjejas banjir sehingga terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak setakat 8 pagi ini, kini 126 orang melibatkan dua daerah.-Gambar hiasan

KUANTAN- Seramai 24 mangsa daripada tujuh keluarga terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi tadi apabila Raub dilanda banjir kilat sejak awal pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata dua PPS berkenaan adalah PPS Surau RRM Cheroh yang menempatkan 10 orang dan Masjid Jamek Kuala Semantan.

“Semua mangsa dari Kampung Kuala Semantan dan Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh. Kita jangka jumlah mangsa akan meningkatkan berikutan aliran air menaik,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Pekan pula masih kekal 102 mangsa daripada 26 keluarga di dua PPS, setakat jam 10 pagi.

“Dua PPS berkenaan adalah SK Temai yang menempatkan seramai 93 orang daripada 24 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Aceh (9 orang, 2 keluarga),” katanya.

Manakala Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd Sani Harul berkata, tanah runtuh berlaku di jalan utama dari Jalan Ulu Sungai menghala Technology Park Malaysia (TPM), di Raub menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 6 pagi tadi.

Katanya, runtuhan tanah bersama lumpur dan pokok di kawasan berkenaan menyebabkan laluan jalan raya terhalang.

Bagaimanapun setakat ini, tidak berlaku sebarang kemalangan membabitkan pengguna.

Dengan ini jumlah mangsa banjir di Pahang telah meningkat kepada 126 orang yang ditempatkan di empat PPS berbanding 102 malam tadi.-MalaysiaGazette