Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho.

RIO DE JANEIRO – Legenda bola sepak Brazil Barcelona Ronaldinho, akhirnya mengambil keputusan untuk bersara dalam dunia bola sepak.

Pengumuman itu dibuat oleh abangnya dan juga ejennya, Assis yang mengesahkan pemain yang pernah memenangi Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Copa Libertadores dan Pemain Terbaik Tahunan Dunia itu akan menamatkan karier buat selama-lamanya.

Bekas pemain Barcelona itu tidak bermain dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak tahun 2015 namun tidak pernah membayangkan kariernya sudah berakhir sehingga kini.

“Masa sudah tiba untuk dia bersara,” kata Assis kepada akhbar Rio de Janeiro O Globo.

Assis menambah, pihaknya akan melakukan acara yang hebat, selepas Piala Dunia Russia pada bulan Ogos ini.

Menurut Assis, ia melibatkan perlawanan perpisahan yang akan diadakan di Brazil, Eropah dan Asia serta mungkin membabitkan pasukan kebangsaan.

Ronaldinho yang akan menyambut ulang tahun ke-38 Mac ini, memulakan kariernya di Gremio dan mewakili tujuh kelab lain termasuk Paris Saint-Germain, AC Milan, dan Queretaro.

Sepanjang karier profesional bola sepaknya, pemain yang dianggap sebagai salah seorang pemain dengan bakat istimewa di dunia, turut pernah beraksi untuk Fluminense,  Querétaro, Atlético Mineiro dan juga Flamengo di Brazil.

Namun ketika bersama Barcelona dari 2003 hingga 2008, dia mencatat detik gemilang, mempamerkan aksi membanggakan kelab Sepanyol itu dan paling diingati kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid di Bernabeu pada 2005.

Dia kemudiannya membantu kelab Catalan itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2006, La Liga pada 2005 dan 2006 serta menerima anugerah Ballon D’Or pada 2005.

Ronaldinho mewakili Brazil sebanyak 101 kali, menjaringkan 35 gol termasuk sepakan percuma sejauh 40 ela (36 meter) yang menumbangkan England pada Piala Dunia 2002. – MalaysiaGazette