Mustapa Mohamed berucap pada sesi "Updates of the Automotive Industry in 2017 and Outlook in 2018" oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR- Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia dijangka berkembang sebanyak dua peratus tahun ini di antara 586,000 hingga 591,000, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) yang menyediakan gambaran holistic terhadap kenderaan yang dikeluarkan secara tempatan sama ada untuk penggunaan domestik dan eksport dijangka meningkat sebanyak empat peratus tahun ini kepada 530,000 hingga 535,000 unit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan kesemua nombor ini semasa mengumumkan perkembangan terkini Industri Automotif dan Tinjauan Masa Hadapan 2018 di sini hari ini.

Katanya, industri automotif tempatan telah memberi komitmen terhadap RM3.99 bilion pelaburan bermula tahun ini sehingga 2022, sebagai tambahan kepada RM7.6 bilion yang diperolehi pada 2014 sehingga 2017.

Sektor automotif dijangka menyumbang 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berbanding empat peratus tahun lepas.

Eksport alat ganti dan komponen automotif diunjur mencecah RM800 juta tahun ini.

Segmen tersebut merekodkan lonjakan kepada RM516.4 juta setakat November 2017, mengatasi angka RM510 juta yang dicatatkan pada Disember 2016.

Eksport kenderaan dijangka mencecah 34,000 unit pada 2018 berbanding sasaran tahun lepas sebanyak 31,000 unit.

Eksport kenderaan pada 2016 adalah sebanyak 33,437 unit bernilai RM1.05 bilion.-BERNAMA