Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pemberian Dana Endowmen di UPM, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2018.

SERDANG – Kumpulan Weststar menyasarkan penyenaraiaan di Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara itu telah melantik bank bagi proses tawaran awam permulaan (IPO).

“Kami bukan buat ini terburu-buru, kami ada aliran wang. Semua itu bergantung kepada penilaian, jika dapat penilaian yang baik yang boleh saya terima, kita akan masuk IPO suku ketiga tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) penyerahan dana endowmen antara Kumpulan Weststar dan UPM.

Reuters sebelum ini melaporkan, cadangan pelaksanaan IPO Weststar telah dikaji sejak 2014 yang melibatkan pengumpulan dana antara AS$300 hingga AS$600 juta (RM966 juta-RM1.9 bilion).

“Syarikat ini saya buka di Malaysia, dan sepatutnya kekal sebagai syarikat di negara ini. Kami lebih suka memasuki Bursa Malaysia daripada pasaran saham luar negara,” katanya.

Syarikat pengendali perkhidmatan helikopter itu turut dimiliki firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat (AS), KKR. -MalaysiaGazette