Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor (tiga dari kanan) bersama Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MFCP) Datuk Seri Wira Ayub Yaakob (dua dari kanan) bergambar ketika melancarkan gimik penutup program Perbincangan Town Hall: Strategi Berkesan Mencegah Jenayah dan Penyalahgunaan Dadah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Sunway University, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 20 JANUARI 2018

SUBANG JAYA – Kadar jenayah dalam negara menurun 11.74 peratus pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya dan ia disifatkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai pencapaian baik bagi negara.

Menurut beliau dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, daripada jumlah itu kes jenayah kategori kekerasan juga direkodkan menurun 4.30 peratus.

“2017 telah merekodkan penurunan srbanyak 13,186 kes atas 11.74 peratus berbanding dengan 2016. Ini termasuk jenayah kekerasan menurun sebanyak 960 kes atau 4.30 peratus.

“Dan jenayah harta benda yang turut memperlihatkan penurunan sebanyak 12,226 atau 13.58 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan Perbincangan Town Hall; Strategi berkesan mencegah jenayah dan penyalahgunaan dadah di Universiti Sunway hari ini.

Dalam pada itu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga efektif dalam menjalankan tugas apabila dianggarkan berjaya merampas RM198.54 juta dadah pelbagai jenis dengan penangkapan 166,872 orang untuk jenayah tersebut pada tahun lalu.

“Tahun 2017 juga menyaksikan beberapa siri kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik membongkar makmal haram memproses darah serta menggagalkan cubaan pengedaran dadah secara besar-besaran.

“Seramai 166,872 orang telah ditangkap atas kesalahan dadah pada tahun 2017 manakala nilai rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan RM198.54 juta.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan kepada negara dan saya yakin kita berupaya mencapai kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang,” ujar beliau.

Dalam pada Mazlan menyambut baik salah satu resolusi yang dibuat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini dalam memperhalusi isu jenayah dan masalah dadah dalam negara apabila agensi itu mencadangkan polisi penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) seluruh negara dilaksanakan.

Katanya, ini kerana CCTV merupakan salah satu alat bantuan siasatan terkini yang kerap digunakan, sama ada untuk jenayah dadah mahupun jenayah semasa yang lain.

“Kita ada kes yang lalu apabila video yang perlu dijadikan bukti tidak berguna kerana ia datang dari CCTV yang tidak berfungsi.

“Penggunaan polisi CCTV seperti yang dikatakan MCPF boleh mengelakkan berlakunya jenayah’” tambahnya dalam sidang media. – MalaysiaGazette