KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini untuk menambah pendapatan melalui program #YOUCANDUIT.
Menurut Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, program itu yang menumpukan kepada dua konsep iaitu eRezeki dan eUsahawanan yang diadakan secara digital selaras dengan perkembangan teknologi global.
Sejak program itu diperkenalkan dua tahun lalu, pihak yang diberi tanggungjawab mengendalikannya berjaya melatih seramai 307,778 peserta dan menjana pendapatan tambahan secara terkumpul lebih RM340.1 juta, katanya.
“Hari ini adalah penutup kepada siri jelajah #YOUCANDUIT bagi tahun 2017 setelah menjelajah di 14 negeri di seluruh negara,” katanya pada majlis perasmian penutup Jelajah #YOUCANDUIT dan Karnival CEO Desa di Istana Budaya hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.
Karnival tiga hari bermula 19 Januari lalu turut menampilkan Muzikal #YOUCANDUIT, iaitu sebuah seminar keusahawanan dalam bentuk persembahan muzikal yang pertama di Malaysia dan dipersembahkan selebriti terkemuka tanah air.
Menurut Shahrizat, program #YOUCANDUIT adalah antara kempen inisiatif kerajaan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merakyatkan ekonom digital.
Kini, kata beliau, ia telah sampai ke penghujung siri jelajah tahun 2017 dan kempen #YOUCANDUIT anjuran MDEC itu telah memberi impak besar kepada rakyat termasuk golongan ibu tunggal, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan pesara.
“Kempen #YOUCANDUIT ini menepati hasrat kerajaan untuk melebarkan lagi inisiatif ekonomi digital kepada semua lapisan masyarakat termasuk penduduk luar bandar.
“Kerajaan melalui MDEC turut berhasrat memperluaskan kerjasama dengan badan organisasi seperti FELDA, Perkasa, Maktab Koperasi Malaysia dan PERHEBAT untuk menghampiri lebih ramai kumpulan sasar tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette
















