Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.
Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mula panik susulan ugutan Pas Selangor mahu memanjangkan isu peruntukan disekat kerajaan negeri kepada Sultan Selangor.

Mohamed Azmin menyelar tindakan Pas  tersebut yang dianggap tidak matang dan menggesa supaya mereka berhenti daripada bertindak membawa isu itu ke pengetahuan istana.

“Bagi saya mana-mana ADUN yang ada masalah tentang peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing boleh berbincang dengan pegawai daerah kerana pegawai daerah merupakan pengawal kewangan.

“Atau pun, mereka boleh bertemu dengan saya sebab pintu saya sentiasa terbuka. Kita boleh bincang tapi tak payahlah bawa perkara ini ke istana.

“Ini soal pentadbiran, tak payahlah pergi jumpa Tuanku… ini pentadbiran negeri,” beliau dipetik berkata hari ini dalam satu majlis kerajaan negeri di Kuala Selangor hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi tidak menolak kemungkinan akan menghadap Sultan Sharafuddin, sekiranya masalah pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat mereka tidak diselesaikan dengan segera.

Katanya, Pas Selangor akan meminta Mohamed Azmin mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi memperjelaskan mengapa peruntukan disalurkan kepada ahli Parlimen dan Adun Pas telah disekat. – MalaysiaGazette