Husam Musa

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas yang ada sekarang telah menyalahi konsep dalam perjuangannya membangun bersama Islam, kata bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, tidak ada Pas pun, Islam tetap ada di Kelantan termasuk negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Katanya, selepas mantan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, perjuangan parti itu lari dari landasan sebenar.

“Kepimpinan Pas sekarang memang sudah salah konsep. Kepimpinan tok guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz) sudah tidak ada lagi.

“Ramai pemimpin yang berjuang bersama tok guru termasuk saya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Anuar Bakri duduk bersama Parti Amanah Negara (PAN),” katanya dalam pertemuan dengan guru silat di Kota Bharu, semalam.

Husam berkata, apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan kerajaan negeri itu sengaja melambatkan pembangunan, beliau dapat rasakan Pas bukan lagi memperjuangkan Islam.

Katanya, patutlah badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan silat dan anak muda tidak mendapat sebarang peruntukan untuk beraktiviti.

“Sepatutnya persatuan silat diberi peruntukan kerana mereka adalah penyumbang kepada pembangunan sosial, rakyat dan anak muda.

“Sebagai kerajaan, NGO dan anak-anak ini patut didahulukan. Beri mereka tanah dengan keluasan yang kecil pun sudah cukup. Tidak semestinya beri yang luas.

“Beri satu per tiga kepada mereka, sarankan mereka bina rumah untuk tinggal satu keluarga. Ini baru Islam. Tapi, setahu saya tidak ada seorang pun dapat tanah… kenapa nak pangkah Pas lagi?” soal beliau.

Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, orang ramai jangan keliru apabila Pas mendakwa Islam itu Pas dan Pas itu Islam.

“Kalau pemimpinnya mendakwa Islam itu Pas dan Pas itu Islam, macam mana dengan negara yang tidak ada parti Pas? Semua rakyatnya mati dalam kafir?

“Zaman Saidina Abu Bakar tak ada Pas, zaman Saidina Omar pun tak ada Pas. Tapi, kedua-duanya berpegang dengan Islam. Kita pun berpegang dengan Islam juga sebagaimana Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar berpegang dengan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast