Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menunjukkan salah satu daripada 16 geran tanah yang Felda berjaya mendapatkan semula hak milik daripada Synergy Promede Sdn. Bhd. pada sidang media khas berhubung Perkembangan Terbaru Berkaitan Tanah Felda, Jalan Semarak di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad enggan melayan cabaran debat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung isu tanah di Jalan Semarak dengan menegaskan isu hak milik tanah tersebut sudah selesai.

Rafizi dalam cabaran kepada Shahrir menuduh tanah Felda di Jalan Semarak telah “hilang buat selama-lamanya” dan ramai yang tidak menyedari bahawa tanah itu telah dijual kepada pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

“Apabila tanah itu dibangunkan menjadi unit terbina, pemilikan unit terbina ini adalah dengan pembeli. Semua orang tahu, kan? Jadi perdebatan itu tentang apa? Apa yang ada mahu didebatkan?”

“Semua orang tahu, semua pemilik tanah yang membuat perjanjian dengan pemaju untuk membangunkan tanah mereka menjadi unit terbina, yang kemudiannya akan dijual kepada pembeli, pembeli akan memiliki unit terbina itu.

“Semua pemaju tahu. Jadi perdebatan mengenai apa?” beliau dipetik berkata.

Shahrir juga mempersoalkan Rafizi mengapa dilihat pro kepada pemaju dan adakah ia disebabkan pengaruh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mengapa beliau menukar pendiriannya? Haruslah kerana hubungannya dengan Dr Mahathir. Kamu tahu, sekarang beliau (Dr Mahathir) sangat pro-pemaju, pro-syarikat besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette