Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar faedah yang diumumkan Bank Negara Malaysia pada hari ini adalah sesuatu yang dijangkakan.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kadar baharu itu akan terus menyokong trajektori pertumbuhan kukuh ketika ini.

“Peningkatan sederhana sebanyak 25 mata asas adalah sesuatu yang kami rasakan boleh diserap pasaran terutamanya dengan pengukuhan ringgit dan kawalan kerajaan terhadap inflasi.

“Kami tidak menjangkakan sebarang peningkatan dalam tempoh terdekat walau apa pun situasi makro,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, CIMB bersedia untuk membantu pelanggan menghadapi peningkatan kadar faedah dan cabaran perniagaan yang lain sama ada di Malaysia atau ASEAN.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Dengan itu, kadar koridor terendah dan tertinggi bagi OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus.-MalaysiaGazette