Pemangku Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak bercakap ketika sidang media ringkas pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 25 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam peringkat kajian untuk meneliti keselamatan penggunaan pemisah basikal dan laluan kenderaan (rubber separator).

Keputusan kajian itu akan didedahkan kepada umum dalam tempoh sebulan daripada sekarang.

Pemangku Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak berkata, pihaknya terpaksa meneliti dan menjalankan kajian ini selepas mendapat bantahan segelintir pengguna jalan raya baru-baru ini.

“Walaupun rubber separator itu sudah dibuka tetapi ada keperluan juga untuk kita meneliti secara mendalam mengenai aspek dan ciri keselamatan atas jalan.

“MIROS bertanggungjawab dalam melakukan kajian dari segi aspek keselamatan, pada awalnya kita memang tidak terbabit,” katanya selepas menghadiri majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 di Plaza Tol Sg Besi di sini hari ini.

Tambah Siti Zaharah, sebarang kesimpulan daripada kajian itu akan mendapat persetujuan serta rujukan pelbagai agensi berwajib.

Kajian itu termasuk penggunaan peralatan termasuk ‘flexible barrier’ yang pernah disyorkan oleh DBKL sebelum ini.

Sebelum ini, DBKL telah  mengambil tindakan segera membuka semula rubber separator di ibu negara Isnin lepas.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, langkah itu diambil selepas pemasangan alat tersebut didakwa membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Terdahulu, insiden kemalangan motosikal didakwa berpunca daripada pemisah laluan basikal di simpang Jalan Sultan Ismail berdekatan pusat beli-belah Maju Junction menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Posting dengan gambar seorang lelaki duduk berlunjur dengan kesan luka dan darah itu kemudian dikongsi ratusan kali selain ribuan komen netizen. – MalaysiaGazette