Hamzah Zainuddin.
PUTRAJAYA – Semua bateri sekunder perlu mendapatkan pensijilan dan pelabelan keselamatan sebelum dipasarkan bermula 1 Feb ini bagi melindungi pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata semua pengeluar dan pengedar bateri sekunder perlu mematuhi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Berdasarkan garis panduan tersebut, pengeluar, pengedar dan pengimport perlu melalui pengujian dan menepati piawaiaan pengunaan dan standard keselamatan MS IEC 62133:2017 yang ditetapkan SIRIM QAS International Sdn Bhd, katanya.

“Tempoh peralihan yang sewajarnya akan diberikan kepada pengilang, pengimport, pembekal bateri sekunder sebelum garis panduan ini dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Advokasi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder, di sini hari ini.

Bateri sekunder ialah bateri yangg dapat dicas ulang yang menghasilkan tenaga elektrik secara berterusan dalam jangka masa yang panjang dan ia banyak digunakan untuk telefon bimbit, power bank, rokok elektrik, gajet permainan elektronik, komputer riba, hoverboard, flyboard dan dron.

Berhubung tempoh peralihan yang akan diberikan, Hamzah berkata perbincangan dengan peniaga dan pengguna akan diadakan untuk memastikan pelaksanaan garis panduan itu memberi keadilan kepada semua pihak.

“Kita akan mengumumkan tempoh peralihan dalam tempoh terdekat. Pihak peniaga mahu setahun tetapi pengguna mahu pelaksanaan (garis panduan) secepat mungkin … Saya akan mengumumkan dengan adilnya,” katanya.

Hamzah berkata KPDNKK mengadakan program advokasi kepada pihak berkepentingan seperti pengilang, pengimport, pembekal bateri sekunder dan wakil agensi kerajaan untuk membolehkan mereka memahami garis panduan standard keselamatan, keperluan pengujian dan pensijilan bateri sekunder.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk denda dan sita terhadap barangan mereka yang gagal mematuhi peraturan ini,” katanya.- BERNAMA