RIYADH – Setelah hampir tiga bulan berada dalam tahanan pihak berkuasa, hartawan yang juga merupakan antara pemilik syarikat media paling berpengaruh Arab, MBC dibebaskan awal pagi tadi.

AFP melaporkan, Waleed al-Ibrahim merupakan antara 350 orang kenamaan termasuk golongan diraja dan menteri yang ditahan atas tuduhan rasuah di sebuah hotel mewah, Ritz Carlton di Riyadh pada 4 November lepas.

Bagaimanapun, syarat pembebasannya tidak begitu jelas tetapi sumber terdekat mendakwa kesemua tahanan yang dibebaskan bersetuju membayar sejumlah wang pampasan.

Waleed yang kemudian dipercayai telah mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli keluarganya namun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pembebasan beliau.

Pihak berkuasa juga belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit setakat ini.

Syarikatnya, MBC juga dikatakan tidak mengeluarkan laporan tentang perkara tersebut walaupun diasak oleh media sejak semalam.

Akhbar Financial Times melaporkan pihak berkuasa telah mengarahkan Waleed untuk menyerahkan kepentingannya dalam MBC sebagai syarat utama bagi pembebasannya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi juga telah membebaskan beberapa orang tahanan lain termasuklah bekas Ketua Mahkamah DiRaja Saudi, Khaled Tuwaijri, bekas Ketua Agensi Kaji Cuaca, Turk ibn Nasser, bekas Ketua Pengawal Negara, Putera Mited Abdullah.

Mited Abdullah dipercayai telah membayar wang sebanyak hampir AS$ 1 bilion (RM3.87 bilion) bagi tujuan tersebut.

Nasib hartawan Putera Al-Waleed Talal, dianggap sebagai Warren Buffett Arab Saudi masih belum dikethaui namun beliau antara sasaran utama kerajaan.

Pihak berkuasa mengatakan hampir semua yang ditahan mengadakan penyelesaian kewangan untuk dibebaskan membolehkan negara itu mengumpul lebih AS$100 bilion (RM387 bilion)

Bagaimanapun, tindakan ini mendapat kritikan pelbagai pihak namun dibantah kerajaan yang menegaskan objektif utama adalah menghapuskan rasuah yang semakin membarah dalam negara.

Ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk mempelbagaikan jenis ekonominya selepas berdekad bergantung sepenuhnya kepada minyak.

Wang pampasan pembebasan ini akan digunakan untuk membantu rakyat di negara ini untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.-MalaysiaGazette