Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

KUALA LUMPUR – Ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) masih berpengaruh dikalangan rakyat walaupun muncul banyak parti baharu yang akan bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li itu berkata kelebihan masih menyebelahi BN, namun tidak menolak pilihan raya kali akan lebih meriah berbanding sebelum ini.

“Pendirian kita adalah kita tetap bertanding di semua kawasan seperti biasa. Malah, jika ada pertambahan, ia lagi meriah jika ada parti lain yang bertanding.

“Soal majoriti lebih atau tidak, itu kita tidak tahu namun melihat kepada keputusan lepas, kita tetap dapat mengekalkan pengaruh kita di satu-satu tempat yang bertanding,” beliau dipetik berkata.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi situasi tersebut akan mewujudkan berlakunya pecah undi terhadap parti yang bertanding.

“Malah, mungkin akan berlaku pecah undi bagi parti yang mana calonnya tidak dapat mengekalkan pengaruh lebih-lebih lagi dengan wujudnya parti serpihan,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, beliau yakin BN akan dapat mengekalkan pengaruh lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman. – MalaysiaGazette