Reaksi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) bersama Menteri Angkatan Tentera Perancis, Florence Parly (kiri) pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pertahanan Strategik Tinggi Malaysia - Perancis ke 4 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Lawatan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly ke Malaysia selepas pembentukan kerajaan baharu negara itu baru-baru ini membuktikan komitmen kukuh Perancis kepada Malaysia sebagai rakan strategik ketenteraan utama di rantau Asia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hubungan dua hala kedua-dua negara yang terjalin lebih setengah abad itu kini lebih maju selangkah dalam menjamin keselamatan global.

Katanya, perjumpaannya bersama rakan sekerja itu telah membincangkan tentang landskap keselamatan global dengan menekankan ancaman keganasan dan keselamatan maritim yang menjadi topik utama untuk ditangani segera.

“Di bawah Kumpulan kerja industri Ketenteraan, Prancis komited dalam beberapa program pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping Malaysia turut mengiktiraf pembangunan signifikan kerjasama industri pertahanan Malaysia dan Perancis.

“Kita juga bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama ketenteraan kedua-dua negara menerusi pengendalian latihan dua hala secara lebih kerap yang akan memperkasa keupayaan teknologi ketenteraan dalam menangkis ancaman keganasan serantau Asia dan global,” katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama di Wisma Perwira ATM di sini.

Terdahulu kedua-dua menteri pertahanan itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Strategik Tertinggi Pertahanan ke-4 Malaysia Perancis 2018 yang berlangsung selama sejam bermula 2.30 petang dengan dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor.

Dalam mesyuarat sama katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama antara Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Malaysia untuk Pertahanan (STRIDE) dan rakan sejawatannya Directorate General of Armaments (DGA) dalam senjata ketenteraan.

“Taklimat turut diberikan mengenai kursus baharu yang diperkenalkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi kerjasama dengan institut Perancis antaranya Sarjana Sains Kejuruteraan Aeronautik, Sarjana Kejuruteraan Maritime dan Sarjana Keselamatan Maklumat,” katanya.

Florence turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pagi tadi melibatkan perbincangan mengenai isu minyak sawit dan Kesatuan Eropah selain melawat Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia, Subang. – MalaysiaGazette