Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita melahirkan dua orang anak akibat dirogol oleh bapanya kandung sejak lapan tahun lalu akhirnya tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima laporan mangsa jam 11 malam 1 Mei lalu.

Dalam laporan tersebut, mangsa yang berumur 20 tahun mendakwa dia telah dirogol oleh bapa kandungnya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak tahun 2016 ketika pengadu berusia 12 tahun hingga kejadian terbaharu pada tahun ini.

Semua kejadian itu berlaku di dalam bilik rumahnya di Kampung Chuah, Port Dickson.

“Kejadian ini pernah diceritakan kepada ibu pengadu namun tidak diendahkan walaupun mangsa melahirkan dua orang anak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Susulan itu, polis menahan ibu dan bapa mangsa pada 3 Mei lalu.

Aidi Sham berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah narkotik.

Mereka telah direman selama lima hari sehingga 8 Mei ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376B kerana sumbang mahram yang memperuntukkan penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan. – MalaysiaGazette