KUALA LUMPUR – Momentum belian pelabur asing berterusan untuk minggu kelima berturut-turut dengan urus niaga sebanyak RM872 juta pada minggu lalu.

Ia lebih tinggi berbanding RM702.2 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam dagangan lima hari lalu dengan kemuncak pada hari Selasa melalui suntikan sebanyak RM254.4 juta, belian tertinggi dalam sehari sejak 8 Januari lalu.

Trend itu dipacu pengukuhan ringgit kepada minggu ke 64 tertinggi kepada RM3.927 dan harga minyak yang stabil.

Bagaimanapun, berlaku kemerosotan besar dalam aktiviti belian pada hari Rabu kepada RM93.7 juta, tahap paling rendah sejak 17 Januari tahun lalu.

Keadaan itu sama berlaku di pasaran membangun Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, dengan Indonesia menyaksikan aliran keluar terbesar sebanyak AS$23.64 juta.

Pada Jumaat lalu, FBMKLCI terus mendaki dengan merekodkan 1,853.92 mata berikutan harga minyak yang stabil dan peningkatan kadar faedah oleh Bank Negara Malausia.

Ringgit pula kukuh sebanyak 1.75 peratus berbanding dolar untuk ditutup kepada RM3.871.

MIDF Research berkata, penyertaan pelabur asing terus kukuh dengan nilai dagangan purata harian (ADTV) melepasi RM1 bilion kepada RM1.13 bilion. – MalaysiaGazette