Home Politik Pembangkang memang sengaja mahu burukkan imej SPR

Pembangkang memang sengaja mahu burukkan imej SPR

KUALA LUMPUR – Mendesak mahu pemantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  hanya niat jahat parti pembangkang untuk memburukkan imej kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina Saadudin berkata, hasrat Pakatan Harapan itu dilakukan dengan niat untuk meraih undi simpati semata-mata.

“Bagi saya, gesaan terdesak dari kem pembangkang ini hanya satu lagi mainan drama untuk memburukkan imej Kerajaan dan agensi terlibat seperti SPR bagi mendapatkan perhatian dan simpati pengundi kononnya sistem pemantau pilihanraya kita tidak cekap.

“Sedarlah anak bangsa dan rakyat Malaysia, tindakan menjemput pemantau asing untuk PRU-14 ini umpama bapa yang cuba memburukkan anak sendiri di mata antarabangsa yang kelak memburukkan nama keluarga secara keseluruhannya.
,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Anina, mustahil parti pembangkang memenangi beberapa buah negeri pada pilihan raya yang lalu jika benar yang didakwa sistem yang dilaksanakan dalam negara tidak telus.

“Saya pelik bagaimana gesaan ini boleh disokong kem pembangkang kerana umum maklum, mereka tetap mempunyai pengundi sendiri malah mampu mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang hasil keputusan PRU lepas.

“Jadi, adakah sistem pengawasan dan pemantauan PRU kita tidak cekap hingga kem pembangkang mampu menawan beberapa negeri dan meningkatkan pengaruh di beberapa kawasan tertentu?,” ujar Presiden Empirical Malaysia itu lagi. -MalaysiaGazette