Benarkah kedudukan Liow Tiong Lai di Bentong bergantung kepada keputusan Adnan Yaakob untuk terus bertanding atau bersara dari politik?
PETALING JAYA – Keadaan di Bentong, Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14) akan menjadi lebih sengit dan getir jika Datuk Seri Adnan Yaakob bersara sebagai Menteri Besar Pahang.
Sinchew Daily melaporkan, Adnan sendiri pernah mendedahkan bahawa kedudukan Ahli Parlimen Bentong yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan tergugat jika beliau bersara daripada jawatan menteri besar.
Menurut sumber, Adnan pernah mendedahkan persaraan beliau akan menyebabkan Tiong Lai berdepan kesukaran besar untuk mempertahankan Bentong.
“Dengan kata lain, Adnan perlu dikekalkan jika Perdana Menteri mahu Tiong Lai dikekalkan.”
Sumber berkata, undi yang dirai oleh Adnan adalah ‘undi peribadi’ yang akan beralih kepada pembangkang atau menjadi undi rosak jika Adnan tidak bertanding dalam pilihan raya.
Adnan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, kawasan yang terletak dalam kerusi Parlimen Bentong.
Semasa pilihan raya lalu pada 2013, Tiong Lai menewaskan calon DAP dengan majoriti 379 undi berbanding majoriti 12,549 undi pada 2008.
Adnan menjadi Menteri Besar Pahang sejak 1999 dan sudah terdapat banyak khabar angin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mencalonkan menteri besar baharu di Pahang.
Jika keadaan itu berlaku, MCA mungkin berdepan keadaan luar kawalan, yakni berdepan cabaran lebih sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong.
Walaupun prestasi Tiong Lai di Bentong dan juga sebagai Presiden MCA adalah menonjol dan ia akan membantunya mempertahankan kerusi Parlimen itu, namun tindakannya bersuara dalam isu Rang Undang-undang 355 pernah menimbulkan rasa tidak puas hati pengundi Melayu.
Dengan tahap kebergantungan MCA yang tinggi terhadap sokongan pengundi Melayu, perubahan sokongan pengundi kaum itu pada tahap 15 peratus sudah memadai untuk membawa kesan mudarat buat MCA. – MalaysiaGazette