Liow Tiong Lai merasmikan cawangan Klinik Swasta rawatan Mata Optimax ke-11 di Seri Petaling, Kuala Lumpur. foto: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – DAP dan pemimpinnya dibidas sebagai pembangkang yang bersikap angkuh yang bakal membawa kepada kebinasaan secara sendiri Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tanggapan DAP itu adalah mimpi yang tidak akan berjaya.

“Saya rasa itulah sikap angkuh DAP yang mana mereka ingat semua pengundi Cina di negara inI akan mengundi dia dengan tanggapan orang Cina terhutang budi dengannya. Sebenarnya persepsi DAP itu salah.

“Saya pasti 100 peratus bahawa komuniti Cina tidak terhutang budi apa-apa dengan DAP, sebenarnya DAP yang terlalu bergantung dan mengemis undi Cina kali ini dan lagipun masyarakat Cina tidak suka melihat karakter angkuh DAP seperti itu,” katanya selepas merasmikan perasmian cawangan klinik swasta Rawatan Mata Optimax yang ke-11.

Hadir pada majlis Ketua Pegawai Eksekutif klinik itu, Sandy Tan.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan DAP yang mahu merampas semua kerusi MCA yang ditandingi pada PRU14.

Tambah beliau, MCA menyambut cabaran DAP itu secara positif dan akan melancarkan serangan balas dengan menjelaskan kepada rakyat dan komuniti Cina bahawa DAP adalah sebuah parti yang angkuh dan tidak diperlukan lagi.

Justeru katanya, parti yang membinasakan rakyat dan negara seperti DAP tidak membina kesejahteraan sambil merujuk pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang penuh bermasalah dan menyusahkan rakyat.

“Kalau dulu bermula dari isu skandal pembelian rumah sehingga bertambah kepada skandal rasuah dalam isu pembinaan terowong dasar laut yang sehingga kini dilanda masalah dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri bertanggungjawab mengelak daripada menjawab MCA dan cuba megelirukan keadaan dengan taktik mendesak Timbalan Presiden saya, Datuk Seri Wee Kah Siong memohon maaf secara terbuka dalam isu itu.

“Namun kebenaran akan terdedah juga suatu hari nanti dan rakyat hendak melihat Guan Eng sebenarnya tidak mempraktikkan ketelusan sebaliknya cuba menutup banyak fakta dalam isu terowong,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membidas DAP supaya menghentikan propaganda ke atas sistem perjalanan pilihanraya menjelang PRU14.

Jelasnya, sikap DAP yang suka mengkritik dan mengelirukan rakyat dengan pelbagai tohmahan menjelang PRU tanpa menyumbang kepada pembangunan negara. – MalaysiaGazette