Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas untuk membasmi berita palsu akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum ditubuhkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, cadangan yang disuarakan Datuk Seri Azalina Othman Said bakal dikemukakan dalam bentuk draf yang akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum ia dirangka dan menjadi ketetapan.

“Kita sedia maklum Pengerusi Jawatankuasa tersebut Datuk Seri Azalina dan sudah tentu beliau akan bentangkan draf awal pada jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet dan beliau akan ambil pandangan seramai mungkin untuk tentukan agar apa nanti yang kita luluskan akan mendapat persetujuan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kepemimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambahnya, penyebaran berita palsu kini bukan sahaja membimbangkan kerajaan malah juga parti pembangkang yang turut menjadi mangsa.

Sehubungan ujarnya, itu penularan berita palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu ditangani.

“Kerana soal berita palsu ini bukan hanya merisaukan mereka dari parti pemerintah tapi mereka juga dari parti pembangkang dan rakyat Malaysia.

“Kita harus sama-sama menentukan agar berita palsu fake ini dapat diatasi tapi bukan bererti tak  ada kebebasan kita nak berikan pandangan, kita kena membezakan memberi pandangan yang ada kaitan dengan berita palsu. Yang kita ingin atasi berita palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara kita,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk menyekat pendapat atau kritikan terhadap kerajaan, sebaliknya tidak mahu berita yang tidak sahih menjejaskan keharmonian negara.

“Tidak ada kaitan dengan mereka yang ingin mengkritik kerajaan, memberi pendapat kepada kerajaan, mereka boleh alu-alukan. Kita lihat sekarang ini dalam media sosial pun parti pembangkang nak beri pendapat tak ada sekatan pun tapi apa yang berlaku kalau kita tak kawal berita palsu ini ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dibnegara kita, itu yang ingin kita beri keutamaaan,” katanya.

Terdahulu sejurus Azalina menyuarakan cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia tidak akan memberikan keyakinan kepada rakyat dan mahu digantikan dengan jawatankuasa dwi-Parlimen. -MalaysiaGazette