Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang 2017 KKLW di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBUARI 2018.

SERDANG – Kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diingatkan agar menilai berita yang diperolehi di media sosial dengan bijak dalam usaha mendapat maklumat yang tepat dan sahih.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama, kakitangan kementerian jangan pula sesekali menjadi penyampai berita atau fakta tidak benar terutama melibatkan polisi atau dasar kerajaan.

Beliau menjelaskan, tindakan itu boleh menjadi fitnah yang mengelirukan pemikiran masyarakat.

“Hari ini media sosial telah muncul sebagai media arus perdana yang menjadi bahan rujukan utama masyarakat setiap hari.

”Terdapat banyak berita yang tidak benar yang disogokkan kepada pembaca.

“Saya harap kakitangan awam kementerian berhati-hati dan lebih arif menapis dan menilai berita yang dibaca di media sosial.

“Namun bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said kata kerajaan akan gubal akta berkaitan berita palsu di media sosial, ia bukan gambaran untuk sekat kebebasan di media sosial.

“Perdana Menteri hari ini sebenarnya lebih bebas media daripada Perdana Menteri dahulu apabila menghapuskan ISA dan AUKU.

“Namun kebebasan media bukan bermakna kita bebas untuk buat fitnah, berbohong dan cerita tidak benar.

“Kakitangan kementerian pula masih boleh guna di kumpulan Whatsapp dan tiada halangan namun yang perlu dikekang adalah cerita fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2017 di MAEPS di Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedia ada komited untuk mengekalkan kakitangan awam pada masa akan datang.

Namun jelasnya berlainan pula kerajaan di negeri pembangkang yang berhasrat ingin memberhentikan separuh jumlah kakitangan awam.

“Kerajaan sedia ada bukan sahaja hendak kekal kakitangan awam malah tambah lagi kemudahan-kemudahan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018.

“Jadi peranan kakitangan awam adalah dengan memperkukuhkan kerajaan dan memperbetulkan cerita yang tidak betul.

“Kakitangan kerajaan perlu bantu kerajaan menjadi kuat dan stabil agar dihormati pihak luar seperti isu Malaysia membantu pelarian Rohingya yang membuka mata negara luar,” katanya.

Sementara itu, APC 2017 menyaksikan seramai 2,889 kakitangan KKLW dan agensi di bawahnya menerima penghargaan.

Sebagai kelainan tahun ini, seramai 10 penerima adalah kakitangan bertaraf kontrak manakala enam kakitangan menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2016. – MalaysiaGazette