Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perpecahan pembangkang yang semakin parah menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad kini terpaksa menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya berdemonstrasi malah membuat tuduhan tidak masuk akal.

Itu kata Ahli Dewan Undangan Bandar Baru, Datuk Nor Sabrina Mohd. Noor

Beliau menyifatkan tuduhan Mahathir darurat akan diisytihar bagi mengelak pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak wajar sekali walhal jentera Barisan Nasional (BN) sudah mula bergerak.

“Untuk apa isytiharkan darurat sedang kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini sedang giat mempersiapkan jentera pilihan raya. Malah Perdana Menteri sendiri mahu seluruh jentera BN melaksanakan persiapan mantap untuk berdepan PRU 14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” kata beliau dalam portal UMNO Online.

Beliau berkata Mahathir sebenarnya terdesak apabila kem pembangkang semakin berpecah dengan isu calon Perdana Menteri dan juga pembahagian kerusi ketika ini.

“Jadi, dakwaan Mahathir ini hanyalah gambaran betapa terdesaknya pakatan pembangkang yang kini berada dalam keadaan yang cukup huru hara berdepan kemelut calon PM dan berebut kerusi pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Sabrina yakin pengundi tidak akan terpengaruh dengan hasutan bekas perdana menteri itu. – MalaysiaGazette