Mohamad Danish Hakim adalah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta, Turki. Foto Instagram Abby Abadi.

KUALA LUMPUR – Sejak pemergian anaknya ke Turki pada Khamis lalu, perasaan rindu pelakon Abby Abadi mula membuak-buak terhadap Mohamad Danish Hakim.

Danish, 15, kini berada di Turki bagi menduduki peperiksaan akhir hafazan.

Dia adalah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta.

Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 41, menerusi laman Instagram miliknya berharap agar anaknya tidak putus berdoa untuk seluruh keluarganya.

“Kalau abang (Danish) baca Insta mama ini, mama nak abang tahu, mama tidak pernah putus doa untuk abang dan anak-anak mama.

“Doakan mama panjang umur untuk terus jaga anak bertuah mama ini supaya selamat di akhirat nanti ya abang. Bagi yang masih ada ibu, alhamdulilah, kasihlah dan jaga mereka seperti mereka menjaga dan kasih kepada kita semasa kita kecil dahulu. Al Fatihah untuk yang telah pergi.

“Jumpa lagi abang. Jangan putus doa untuk mama, abah, papa, mummy, adik-adik, opah, atuk, mak long dan semua keluarga abang. Panjang umur murah rezeki kita jumpa lagi,” katanya.

Danish yang merupakan anak sulung Abby hasil perkahwinan dengan bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim itu disifatkan oleh ibunya sebagai seorang anak yang kuat.

“Kuat anak ini. Mama dulu tinggal sekejap rumah mak saudara pun malam menangis nak balik.

“Allah bagi kekuatan sebab Allah tahu Abang boleh. Allah bagi peluang pada abang sebab Allah tahu abang takkan sia-siakan peluang ini.

“Terus terhebat di jalan-Nya, yakin dengan janji Allah ya abang. Mama rindu sangat ni,” tulisnya.

Abby juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan tidak putus berdoa untuk anaknya.

“Semoga jadi anak yang baik, berakhlak Al-Quran hingga akhir nyawa ya abang. Doakan mama terus kuat untuk jaga abang, adik dan Baby. Untuk usahakan pendidikan dan kehidupan yang terbaik dunia akhirat.

“Terima Kasih pada semua yang membantu, bersedekah untuk Danish dan tidak putus mendoakan. Hanya Allah mampu membalasnya,” katanya. – MalaysiaGazette