Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor dan Link Kedua di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 FEBUARI 2018.

PUTRAJAYA – Siasatan dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung status mesyuarat agung tahunan (AGM)  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibuat secara profesional dan tidak mempunyai kepentingan politik, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan dijalankan ROS berdasarkan aduan dibuat oleh ahli PPBM sendiri dimana setakat ini sebanyak 249 laporan diterima dan 47 daripadanya dikenalpasti melanggar perlembagaan parti itu sendiri.

“ROS terpaksa meneliti semua aduan berkenaan terutama 47 yang mempunyai kaitan dengan pelanggaran kepada perlembagaan parti berkenaan dan juga peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya… ROS menjalankan tugas secara profesional dan tidak ada sebarang kepentingan dalam mana-mana organisasi politik,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor di pejabatnya hari ini.

Ahmad Zahid juga menjawab kritikan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung siasatan ROS dengan mengatakan peraturan sama juga digunakan ketika zaman pemerintahannya sebelum ini.

“Sebagai seorang tokoh yang pernah mengetuai sebuah kerajaan, tokoh itu harus mengetahui di zamannya pun peraturan sama digunakan kerana Akta Pertubuhan 1966 menyebut tugas ROS untuk menjaga kepentingan rakyat terutama ahli mana-mana persatuan atau badan politik mengikut perlembagaan persatuan itu atau perlembagaan badan politik itu,” ujarnya.

Justeru, ROS tidak wajar dipersalahkan walhal pemimpin PPBM sendiri yang tidak mematuhi peraturan yang mereka cipta, tempelak Ahmad Zahid.

“Jadi amatilah, berlaku kejahilan jika menunding jari kepada pihak lain sedangkan kejahilan dilakukan oleh pihaknya sendiri termasuk menghantar perwakilan ke mesyuarat agung tahunan dimana perwakilan itu tidak dipilih oleh bahagian berkenaan dan perwakilan bahagian pun tidak dipilih diperingkat cawangan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan,” katanya lagi.

Hujung minggu lalu, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata, pihaknya masih menyiasat aduan berhubung AGM PPBM kerana menerima bantahan pemimpin pelbagai peringkat parti itu. – MalaysiaGazette