Home Ekonomi Penumpang KLIA, klia2 diunjur meningkat 40%

Penumpang KLIA, klia2 diunjur meningkat 40%

Laluan Kuala Lumpur - Singapura merupakan laluan udara antarabangsa tersibut dunia bagi tempoh Mac 2017 hingga Februari 2018.
Laluan Kuala Lumpur - Singapura merupakan laluan udara antarabangsa tersibut dunia bagi tempoh Mac 2017 hingga Februari 2018.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan peningkatan sebanyak 40 peratus aliran penumpang harian di Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur  (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur  2 (KLIA2) dari 14 Februari sehingga 18 Februari bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Operasi MAHB di KLIA Mohd Arif Jaafar berkata, operator lapangan terbang itu akan bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkuasa untuk melaksanakan  langkah dan inisiatif bagi memastikan perjalanan yang selesa dan menyeronokkan bagi penumpang pada musim perayaan itu.

“Kami akan meletakkan lebih banyak sumber di lapangan – bukan sahaja oleh pihak kami tetapi juga oleh agensi-agensi lain di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAHB akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dalam memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan bebendul jalan tempat  menunggu, yang kini dikuatkuasakan tempoh had dua minit untuk mengambil penumpang.

“Pemasangan penghadang di laluan pengambilan penumpang  juga akan mencegah orang ramai meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan yang akan menyebabkan kesesakan trafik,” katanya.

 Beliau berkata zon tunda turut diperkenalkan di kawasan lapangan terbang untuk mencegah perbuatan meletak kenderaan secara semberono yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurut Mohd Arif, bagi setiap minit kira-kira  55 kenderaan melalui terminal KLIA pada waktu puncak.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali dalam kenyataan berkata kemudahan  daftar masuk bagasi sendiri akan beroperasi sepenuhnya di KLIA2 bermula minggu depan.

“Ini pastinya dapat mengurangkan masa berbaris penumpang  kerana masa untuk proses di kaunter daftar masuk akan hanya mengambil masa satu minit jika mereka menggunakan kemudahan itu,” katanya.

“Kami turut berkongsi unjuran jumlah penumpang itu dengan semua rakan  syarikat penerbangan kami untuk memastikan mereka turut mengambil langkah meningkatkan kelancaran pengurusan penumpang,” katanya dan menurutnya  Malaysia Airlines komited dalam memastikan  kesemua  74 kaunter daftar masuk dikendalikan  dengan baik di terminal utama KLIA sepanjang  musim perayaan.

MAHB dalam nasihat perjalanannya menggesa penumpang untuk tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan mereka dijadual berlepas dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan automatik yang disediakan seperti laman web daftar masuk, kiosk daftar masuk sendiri, kaunter daftar masuk bagasi sendiri dan laluan masuk automatik imigresen. – MalaysiaGazette