Sofi Jikan

KUALA LUMPUR – Pelakon Sofi Jikan yang didapati positif dadah jenis ganja hari ini bebas dengan jaminan polis selepas direman tiga hari.

Sofi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.

Terdahulu, Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48 tiba menaiki kereta peronda polis (MPV) di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada 10.10 pagi sebelum dibawa ke pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau ditahan sejurus tampil di Balai Polis Mutiara Damansara ekoran namanya dikaitkan sebagai salah seorang daripada tiga individu yang didakwa meletakkan dadah dalam minuman dan rokok rakannya, Datuk Farid Kamil.

Dakwaan itu tersebar selepas Farid sendiri membuat laporan polis pada 31 Januari lalu yang turut mengaitkan dua individu lain yang juga dipercayai merupakan penyanyi. -MalaysiaGazette