KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) tidak akan sekali-kali membawa pendekatan Pas dalam perjuangan parti itu, kata Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.
Beliau berkata, kalau Pas membenci golongan kafir terutama orang Cina DAP, PAN pula mengambil pendekatan berbaik, selaras dengan tuntutan agama dalam menegakkan syiar Islam.
“Pendekatan Amanah (PAN) buat dengan yang dibuat oleh Pas, tak sama. Ini yang perlu kita lihat, apa sebenarnya membezakan kita dengan Pas dan bagaimana kita melihat golongan kufar (kafir) yang ada dalam negara ini, kita sebenarnya tidak boleh lari melihat ini sebab mereka ada dalam golongan kita.
“Pas melihat orang kafir dengan kita melihat golongan kafir juga tak sama. Bagi kita, orang kafir adalah golongan mad’u iaitu golongan yang menjadi sasaran dakwah, yang suatu masa mungkin ada ruang untuk mereka memahami Islam dan akhirnya masuk Islam. Ini tidak mustahil,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, Pas bukan agama Islam, sebaliknya sebuah parti yang menggunakan jenama Islam dalam pendekatan dan perjuangannya.
Justeru, katanya, Pas tidak boleh menentukan seseorang kafir itu masuk neraka kerana selagi mereka itu tidak mati, tiba-tiba Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima Islam.
“Adakah kita yang menentukan mereka itu Islam atau pun tidak? Tapi sesetengah pemimpin Pas kata Cina kafir DAP masuk neraka, sedangkan dia (DAP) tidak mati lagi. Kalau dia masuk Islam, takkan dia masuk neraka pula.
“Beginilah pemikiran kelompok Pas ini, bagi mereka yang kafir semuanya masuk neraka. Kita pula melihat orang kafir dengan satu penglihatan yang lunak, dan ini yang Rasulullah lihat pada orang kafir Quraisy, bahkan kafir yahudi di Madinah.
“Lainlah kalau orang kafir itu membuat khianat dan sebagainya barulah Rasulullah ambil tindakan,” katanya.
Bahkan, kata Phahrolrazi, beliau tertarik dengan ADUN Kulim, Chua Thiong Gee pada sidang DUN negeri itu baru-baru ini telah membaca al-Quran dari surah Al-Kafirun ayat 6, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
Jelas beliau, ayat itu dibaca oleh wakil rakyat dari MCA yang cuba mempertahankan isu patung yang dibina di sebuah taman dalam kawasan majoriti penduduk Islam.
Katanya, beliau tidak mahu bercakap mengenai patung, tetapi melihat dalam konteks orang bukan Islam membaca al-Quran.
“Apa sikap kita? Kita berimpresi bahawa al-Quran itu kitab suci yang tidak boleh dipegang atau dibaca oleh orang bukan Islam. Tapi, saya memuji sikap wakil rakyat MCA itu membaca al-Quran.
“Apabila orang kafir menggunakan ayat al-Quran untuk menyedarkan orang Islam mengenai sesuati perkara, kita perlu bersyukur kerana suatu hari nanti tidak mustahil mereka terbuka untuk menerima Islam.
“Inilah pendekatan kita. Kita tidak akan bermusuh dengan golongan kafir sebagaimana Pas lakukan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















