Burhanuddin Ruslan
Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Wira Perkasa mahu kerajaan dan pembuat dasar mengambil serius pandangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta menitik berat apa yang diutarakannya demi sama-sama hendak meletakkan negara pada landasan betul.

Ketuanya, Burhanuddin Ruslan berkata, pada pemukiman Perkasa bersama sayapnya dari 2 hingga 4 Februari lalu, telah menghasilkan resolusi yang menggesa kerajaan dan pembuat dasar supaya berlaku adil dalam pembahagian kek ekonomi negara.

Selain itu, katanya, saranan dan gesaan Perkasa juga ada perkara yang berkait rapat dengan keselamatan nasional, di samping memastikan kesinambungan generasi bangsa Melayu terus berada di landasan yang betul.

“Kita perlu mengambil pengajaran sejarah dunia yang berlaku di Afrika, yang mana dasar apartheidnya yang cuba dilaksanakan oleh orang kulit putih atau pendatang di negara itu, cuba menidakkan hak dan kuasa penduduk asal.

“Akibatnya timbul konflik dalam kalangan penduduk yang menyebabkan negara itu terus mundur dan tidak membangun sehinggalah dasar itu dihapuskan.

“Sekarang, negara Afrika telah membangun dengan pesat sehingga mampu menganjurkan kejohanan bola sepak piala dunia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Burhanuddin, itu semua bukan satu teori atau kejadian semata-mata, tetapi berdasarkan apa yang telah berlaku dan selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, katanya, Wira Perkasa Malaysia menyokong penuh resolusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera (BinaPutera) yang dihasilkan pada pemukiman yang dihadiri seramai 412 pemimpin Perkasa pusat, sayap Wiranita, Wira dan Wirawati.

“Turut serta pada pemukiman itu pemimpin dan sayap Perkasa peringkat negeri dan Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast