BANGI – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melalui anak syarikatnya KUISCELL Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan Aspire Flagship Sdn. Bhd. dalam menubuhkan Halal International Selangor (HIS).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, kedua-dua pihak itu menerusi Program Latihan Pembangunan dan Kapasiti Industri Dagangan Halal (HTCP) bakal melahirkan lebih 200 pakar penyelia halal.

Katanya lagi, mereka yang terpilih akan ditempatkan di syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan penghasilan, pembungkusan dan pengilangan sesebuah produk oleh sesebuah negara menepati piawaian halal.

“Produk halal sebenarnya mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa dan global sehingga nilai pasaran dagangannya mencapai trilion.

“Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan ramai lagi sebenarnya lebih berminat terhadap produk halal tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang halal sepenuhnya.

“Maka KUIS dan Halal International Selangor akan menjadi pemain utama dalam melatih peserta menerusi program HTCP dan mereka yang layak dan terpilih akan dihantar ke luar negara dan ditempatkan dalam syarikat-syarikat yang berminat untuk meneroka pasaran halal.

“Mereka akan menjadi penyelia dalam memastikan segala operasi pengeluaran sesebuah produk memenuhi prasyarat dan menepati piawaian halal yang ditetapkan kita,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Program HTCP selama empat hari yang berakhir hari ini yang turut dihadiri Timbalan Rektor (Akademik dan Penyelidikan) KUIS Dr. Mokmin Basri dan Pengarah Halal International Selangor, Datuk Dr. Mahmud Abbas.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahmad Yunus menambah, program itu juga membuka peluang industri halal yang cuba diperluaskan pihaknya akan memastikan Selangor dan Malaysia terus menjadi peneraju utama hub halal global.

Beliau mahu program berkenaan tidak terhenti setakat latihan pertama tetapi mahu kesinambungannya diteruskan untuk pembangunan halal.

“Selain itu kita juga akan memastikan peneraju pasaran halal diperingkat global mempunyai sijil halal menerusi pengiktirafan Jabatan Kemajuan Agama Islam sekiranya mereka mencapai segla piawaian menerusi hasil penyeliaan pakar kita yang dilatih dan ditempatkan di sana.

“Jepun terdapat hampir 10 hingga 12 badan sijil halal manakala di China pula lebih 30 badan pengeluar sijil halal yang masih mewujudkan keraguan oleh pengguna produk halal di sana dan inisiatif kita menerusi program ini dapat menangani isu jaminan halal tersebut.

“Malah ia juga akan membuka peluang kepada graduan syariah di KUIS sendiri untuk menambah pengetahuan dan meneroka pasaran halal selain melahirkan peluang pekerjaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette