Naib Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Mohd. Nor Hashim Che Min (duduk, tengah) dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

KUALA LUMPUR – Terdapat kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan diharamkan selepas terpalit pelbagai masalah dalaman parti, kata Naib Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Mohd. Nor Hashim Che Min.

Kebimbangan itu tidak dapat disembunyikan memandangkan masalah dalaman parti itu sangat kritikal dan jika ia terjadi kemungkinan calon PPBM terpaksa bertanding atas tiket PKR, situasi yang tidak boleh diterima oleh ahli-ahli parti, kata Mohd Nor.

“PPBM sendiri ada masalah kritikal yang belum selesai dengan ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan). Bagi saya PPBM akan diharamkan dan digantung.

“Apa akan berlaku kepada ahli-ahli PPBM? (Jika) kita bertanding atas tiket PKR, perjuangan asal sudah jadi tidak betul,” beliau dipetik berkata.

PPBM ketika ini sedang disiasat ROS selepas beratus aduan dibuat oleh ahli-ahlinya yang didakwa melanggar perlembagaan parti tersebut semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Nor juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kekangan yang dihadapi parti itu termasuk dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didominasi Parti Amanah Negara (PAN).

“Masalah utama (berlaku) dalam Pakatan Harapan itu sendiri, DAP lebih menonjol daripada parti lain, kita takut ini berlaku.

“Di Kelantan ini, PPBM berebut kerusi dengan PAN, masing-masing nak letak calon, belum selesai lagi dah berbulan-bulan,” katanya. – MalaysiaGazette