WELLINGTON – Ribut taufan Gita yang baru sahaja melanda Samoa baru-baru ini kini beralih ke selatan Kepulauan Fiji dan memusnahkan rumah dan kawasan pertanian.

Perkhidmatan Meteorologi Fiji sebelum ini meramalkan tiupan angin kencang dengan kelajuan antara 195 kilometer sejam (kmj) hingga 275 kmj di sekitar kawasan  Pulau Vatoa serta Ono-i-Lau.

Agensi berita New Zealand melaporkan, kerja-kerja menyelamat juga sukar berikutan ketiadaan akses kepada perkhidmatan perubatan terutamanya doktor dan jururawat selepas siklon kategori empat yang melanda kawasan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Namun, program radio Australia’s Pacific Beat dalam mesej di Twitter melaporkan penduduk di Ono-i-Lau memaklumkan tiada mangsa yang cedera akibat bencana itu.

Sebelum ini, rebut taufan Gita sudah menyebabkan kemusnahan teruk dan banjir di Samoa, American Samoa serta Tonga.

Ribut taufan Gita telah membadai Samoa pada Jumaat lepas memaksa lebih 200 penduduk berpindah selain menyebabkan banjir dan bekalan elektrik terputus.

Fenomena ribut taufan adalah sesuatu yang biasa di Pasifik pada ketika ini namun kali ia dikhuatiri akan membawa kepada kemusnahan yang lebih teruk.

Taufan Winston yang melanda Pasifik telah menyebabkan 44 orang terbunuh di Fiji pada 2016 dan Taufan Pam meragut 11 nyawa dan memusnahkan 65,000 kediaman di Vanuatu pada 2015.-MalaysiaGazette