Menteri Pengangkutan, Dato Seri Liow Tiong Lai mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang KTM Berhad pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTM Berhad sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 14 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR- Presiden MCA, Datuk Seri Liong Tiong Lai akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Bentong pada PRU-14.

Meskipun ada penganalisis dan pemerhati politik meramalkan berlaku persaingan sengit namun Menteri Pengangkutan itu tetap mahu kekal.

“Bentong memang kawasan panas sebab itu kawasan Presiden MCA, semua parti hendak berebut kawasan itu. Saya memang akan pertahankan kerusi itu.

“Saya telah bekerja keras di kawasan bentong dan telah pun menunjukkan satu kerangka kerja yang merangkumi perancangan yang baik untuk pembangunan Bentong.

“Bentong akan menjadi sebuah taman bandar dalam Greater Kuala Lumpur dan dengan itu kita memerlukan wakil rakyat yang mempunyai sokongan kerajaan untuk mentransformasikan agenda penting itu,”katanya kepada pemberita selepas mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang KTM Bhd. sempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral hari ini.

Tiong Lai yang mula menduduki kerusi Parlimen Bentong itu sejak  tahun 1999 dan disukai rakyat kerana sering turun padang.

Bagaimanapun, penganalisis-penganalisis politik berpendapat, isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kos sara hidup membuatkan sokongan terhadap Tiong Lai semakin merosot dan membuatkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu semakin goyah.

Beliau yang hampir kehilangan kerusi tersebut pada tahun 2008 yang lalu dengan mencatatkan majoriti tipis sebanyak 379 undi sahaja digembar gemburkan akan ‘berpindah’ ke kawasan lain yang lebih selamat.

Namun tegas Tiong Lai, tugasnya masih belum selesai di Bentong.

“Disebabkan pelbagai perancangan itu, saya yakin akan dapat sokongan rakyat dengan baik. Saya tidak kisah berapa ramai yang mahu berebut kerusi itu tapi bagi BN kita fokus kepada bina negara, bina kawasan kita, bina rumah tangga kita, kita tidak seperti pembangkang, mereka hanya perosak.

“(Kalau dengar cakap) pembangkang, macam-macamlah. Isu kos sara hidup, BN sama dengan barang naik tetapi pada kita BN adalah bina negara. Kita mahu fokus untuk membina negara,”kata Menteri Pengangkutan itu lagi.-MalaysiaGazette