SAC Sharul Othman mansor memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Selamat ke-12 di Plaza Tol Sungai Besi (Arah Selatan) , Kuala Lumpur hari ini.MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Jumlah kematian akibat kemalangan maut berjaya penurunan sebanyak tujuh peratus sempena Operasi Ops Selamat ke-12 sempena Tahun Baru Cina 2018 bermula 9 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Sharul Othman Mansor berkata, sejak operasi dilancarkan selama enam hari, jumlah kematian akibat kemalangan maut berjumlah 91 kes berbanding 98 kes pada tahun lepas.

“Mengikut statistik kematian, penunggang dan pembonceng motosikal masih mendahului senarai dengan 61 kematian melibatkan 91 kemalangan maut iaitu peningkatan lima peratus berbanding tahun lalu.

“Malah lebih menyedihkan pemandu kenderaan kereta mendahului senarai kesalahan memandu melebihi had laju di seluruh negara iaitu sebanyak 89,385 saman dikeluarkan sehingga hari ini,” katanya dalam sidang media malam ini.

Shahrul Othman turun memantau penguatkuasaan operasi pemeriksaan ke atas penunggang motosikal dan pemandu kereta dalam Ops Selamat ke-12 di lokasi Plaza Tol Sungai Besi (Arah Selatan) di Sungai Besi malam tadi.

Operasi hari ini diadakan bermula 5 petang hingga 9 malam dan turut disertai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau juga memberitahu, pengguna motokar pula mencatatkan sebanyak 14 kematian, pejalan kaki (2), pengguna basikal (1), pengguna van (2), Bas (1 kematian), lori (3 kematian).

Bagi menjayakan operasi sempena balik kampung cuti Tahun Baru Cina 2018, seramai 5,800 orang anggota dan pegawai trafik telah dikera di seluruh negara dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan pesalah lalu lintas di lokasi yang telah dikenalpasti.

Katanya polis komited dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di jalan raya di seluruh negara.

“Sepanjang Ops Selamat, kadar saman polis ditetapkan pada tahap maksimum dan tiada pengurangan yang diberikan, kita tidak akan kompromi dalam perkara ini.

“Kami juga merancang mengambil tindakan berat ke atas penunggang dan pembonceng motosikal yang menyumbang kepada kematian walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk dalam bentuk nasihat,” katanya.

Justeru, katanya, polis akan memberi fokus kepada enam kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu melebihi had laju.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast