Raja Sara Petra
KUALA LUMPUR – Raja Sara Petra memberitahu keputusannya untuk menyertai Barisan Nasional (BN) telah menerima restu daripada ahli keluarganya termasuk ayahnya iaitu penulis blog, Raja Petra Kamaruddin.
 
Raja Sara Petra memberitahu, beliau telah berjinak-jinak dengan aktiviti politik sejak kecil malahan menyertai “aktiviti reformasi” sekali gus menanam minatnya untuk berpolitik dan berkhidmat untuk rakyat.
 
“Sudah tentunya saya juga menerima pengaruh daripada ahli keluarga, khususnya ayah saya,” katanya dalam wawancara dengan China Press.
 
Tambah Raja Sara Petra, beliau memilih untuk menyertai BN kerana kecewa dengan konflik dalaman pembangkang yang berlaku sejak 2014.
 
Mengenai pertukaran haluan politik ayahnya yang mencuri perhatian, Raja Sara Petra berkata, “ini adalah didorong oleh persekitaran semasa, ahli keluarga tidak mempunyai pilihan, harap-harap orang ramai tidak akan membenci dia kerana ini.”
 
“Pertukaran haluan politik ayah adalah biasa, seperti juga Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melakukan pusingan U yang besar dalam haluan politiknya,” katanya.
 
Raja Sara Petra diumumkan untuk menyertai Gerakan pada Julai tahun lalu malahan dikhabarkan akan mewakili parti komponen BN itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Segambut di ibu negara.
 
Ditanya perkara itu, Raja Sara Petra mengakui beliau merupakan calon potensi Gerakan di Segambut, tetapi ia perlu mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menjadi kenyataan. – MalaysiaGazette