SEPANG – Sebutan “balm” (minyak sapu) yang tidak betul di lapangan terbang akan mengundang masalah besar.

Keadaan itu akan berlaku jika minyak sapu disalah sebut sebagai bom, yang merupakan ‘perkataan sensitif ‘ semasa menaiki pesawat.

Malahan memang pernah ada penumpang yang ditahan dan disiasat polis kerana tersalah sebut ”balm” sebagai bom.

Ketua Polis Daerah KLIA yang pertama, ACP Zulkifli Adamshah berkata,  keadaan itu berlaku ke atas seorang warganegara Malaysia keturunan India yang kurang sihat dan meminta “balm” (minyak sapu) daripada petugas lapangan terbang.

Katanya, petugas yang terkejut dengan perkataan “bom” segera membuat laporan polis.

“Petugas sebenarnya telah meminta individu berkenaan mengulangi permintaannya, tetapi dia sekali lagi salah sebut,” katanya dalam wawancara dengan China Press.

Walaupun individu itu dibebaskan dengan amaran, tetapi apa yang berlaku tetap menimbulkan kekecohan yang sebenarnya boleh dielakkan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, terdapat penumpang yang didakwa dan didenda RM5,000 kerana bergurau dalam pesawat.

Katanya, kejadian itu membabitkan seorang lelaki Melayu berumur 70 tahun yang bergurau bahawa demonstrasi keselamatan oleh pramugari adalah demonstrasi membalut bom.

“Akibat gurauan ini, semua penumpang diarahkan meninggalkan pesawat dan disusuli usaha mengesan bom,” kata Zulkifli.

Selain bom, ayat dan perkataan larangan lain di lapangan terbang termasuk “saya memiliki senjata” , “saya akan mengebom” , “kapal terbang akan meletup” , “beg akan meletup” , “bom nuklear” dan “serangan pengganas” . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast